Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia(MAPIM)
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia(MAPIM) hadir dipersada tanah air sebagai suatu
terjemahan dari sebuah perhimpunan dan permuafakatan pertubuhan - pertubuhan Islam di negara ini. Ia dicetuskan dalam dokumen resolusi bernama Deklarasi Permuafakatan Serambi Mekah (DPSM) 2007. Dokumen DPSM 2007 ini lahir dari Persidangan Kebangsaan Pertubuhan - Pertubuhan Islam Malaysia di Kota Bharu, Kelantan pada 15-16 Syawal 1428 / 27-28hb Oktober 2007 yang digerakkan oleh Sekretariat Kongres Umat Islam Malaysia (SKIMA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim. Persidangan ini disertai 500 orang perwakilan dari 78 Pertubuhan - Pertubuhan Islam Peringkat Negeri dan Kebangsaan. Dalam persidangan ini, dirumuskan bahawa seluruh penggerak pertubuhan Islam yang wujud dalam negara ini perlu menyedari betapa pentingnya setiap pihak berperanan sebagai suatu saf yang kuat demi mengangkat martabat umat Islam serta memperkukuhkan kedudukan agama Islam di negara ini. Sidang lanjutan dijayakan pada bulan Ramadhan 1429/2008 di Ipoh, Perak Darul Redzuan. Pertemuan ini telah menerima pakai kaedah dan peraturan MAPIM untuk memperjelaskan lagi struktur dan mekanime pergerakan MAPIM. Pada sidang keduanya di Pendang, Kedah pada 1 Muharram 1431H/ 2009, MAPIM berjaya menyempurnakan dokumentasi rujukan untuk melicinkan lagi pergerakan MAPIM. Bermula dari saat itu, MAPIM meluncurkan gerakannya. Oleh itu, usul menubuhkan MAPIM telah disepakati untuk mencapai hasrat tersebut. Ia merupakan titik tolak bagi melaksanakan tanggungjawab memandu, memimpin dan mengembleng umat Islam secara lebih terselaras dan sistematik. Secara Khususnya MAPIM akan berfungsi sebagai sebuah wadah untuk menyelaras dan menfasilitasi usaha untuk meningkatkan keberkesanan pertubuhan - pertubuhan dan aktivis Islam dalam upaya membangun masyarakat Islam berciri "Khairo Ummah" selengkapnya. |